Kunjungan Hormat Jabatan Wilayah Persekutuan Perkukuh Kerjasama Strategik Road to MAHA Labuan 2026 Bersama MAFFI Sabah
18/06/2026KOTA KINABALU, 18 Jun 2026 – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bagi membincangkan persiapan dan pelaksanaan program Road to MAHA Labuan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 26 Julai 2026 di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.

Sesi kunjungan hormat tersebut telah dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Jumain bin Abdul Ghani, Setiausaha Tetap, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI).
Turut hadir menerima kunjungan ialah Encik Awg. Dzulkernain bin Awg. Hassan, Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan), MAFFI; Puan Shariffah Aznoor, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan Data), MAFFI; serta pegawai-pegawai MAFFI.
Dalam sesi pembentangan tersebut, pihak Jabatan Wilayah Persekutuan telah berkongsi perkembangan terkini pelaksanaan Road to MAHA Labuan 2026 yang merangkumi pelbagai komponen pameran, aktiviti agromakanan, promosi, logistik, kebudayaan dan penglibatan agensi-agensi berkaitan. Program berkenaan dijangka menampilkan enam zon utama pameran yang memberi fokus kepada keterjaminan makanan, inovasi pertanian, penternakan moden, akuakultur dan industri tuna, agro pelancongan serta jualan agro.
Semasa pembentangan, pihak JWP turut menzahirkan keyakinan bahawa penyertaan Sabah dan Sarawak akan terus memeriahkan lagi penganjuran Road to MAHA Labuan 2026, sekali gus memperkukuhkan semangat kerjasama antara wilayah dan negeri-negeri di Malaysia Timur dalam mempromosikan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan.
Sementara itu, MAFFI menyatakan komitmen untuk memberi sokongan penuh serta kerjasama terbaik bagi menjayakan penganjuran program tersebut. Penyertaan MAFFI bersama jabatan dan agensi di bawah kementerian dilihat sebagai platform penting untuk mempromosikan produk, teknologi, budaya serta potensi sektor agromakanan Sabah kepada masyarakat dan pelabur.
Pihak Jabatan Wilayah Persekutuan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sokongan MAFFI dalam menjayakan Road to MAHA Labuan 2026 serta berharap hubungan kerjasama strategik yang terjalin dapat terus diperkukuhkan demi pembangunan sektor agromakanan negara.
Road to MAHA Labuan 2026 dijangka menjadi antara program agro terbesar di Wilayah Persekutuan Labuan yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, usahawan, pengusaha industri serta masyarakat umum dalam usaha mempromosikan kemajuan sektor pertanian, hortikultur dan agro pelancongan Malaysia.








