MAFFI Sertai Penyelarasan Forum Ekonomi Biru Dunia
18/09/2026KOTA KINABALU, 18 September 2026 – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) telah mengambil bahagian dalam Mesyuarat Penyelarasan Penyertaan Kerajaan Negeri ke Program Sultan Mizan World Blue Economy Forum yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Jabatan Ketua Menteri Sabah.
MAFFI diwakili oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Khidmat Pengurusan), Maria David Edick. Mesyuarat berkenaan diadakan bagi menyelaras persediaan dan penglibatan kementerian, jabatan serta agensi negeri dalam program bertaraf antarabangsa tersebut.
Penyelarasan awal ini penting bagi memastikan penyertaan Kerajaan Negeri Sabah dilaksanakan secara teratur, bersepadu dan selaras dengan keutamaan pembangunan negeri, khususnya dalam sektor pertanian, perikanan dan industri makanan.
Sultan Mizan World Blue Economy Forum menjadi platform penting untuk memperkukuh perkongsian ilmu, jaringan strategik dan kerjasama antara pelbagai pihak dalam memajukan ekonomi biru secara mampan. Pendekatan ini menekankan penggunaan sumber laut dan perairan secara bertanggungjawab bagi menjana pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta memelihara kelestarian alam sekitar.
Penyertaan Sabah dalam forum tersebut dijangka dapat mengetengahkan potensi sumber marin negeri, memperluas peluang kerjasama serta menyokong pembangunan sektor perikanan dan industri makanan berasaskan sumber akuatik.
Usaha ini turut berpotensi memberi manfaat kepada komuniti nelayan, pengusaha industri makanan, usahawan tempatan dan masyarakat pesisir melalui penerokaan teknologi, amalan terbaik serta peluang ekonomi baharu yang lebih mampan dan berdaya saing.
MAFFI kekal komited untuk menyokong agenda pembangunan ekonomi biru Sabah melalui kerjasama strategik, pengurusan sumber yang berkesan dan pelaksanaan inisiatif yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat.

