MESYUARAT UNIT KOMUNIKASI KORPORAT MAFFI PERKUKUH PENYAMPAIAN MAKLUMAT DAN PENGURUSAN MEDIA SOSIAL
15/06/2026KOTA KINABALU, 15 Jun 2026 – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) terus memperkukuh penyampaian maklumat kepada rakyat melalui Mesyuarat Unit Komunikasi Korporat (UKK) Jabatan dan Agensi di bawah MAFFI yang dipengerusikan oleh YB Datuk Jamawi Jaafar, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.
Mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama MAFFI itu turut dihadiri oleh Setiausaha Tetap Kementerian, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-ketua Jabatan /Agensi di bawah kementerian serta pegawai-pegawai UKK masing-masing.
Dalam ucapannya, YB Menteri menegaskan bahawa Unit Komunikasi Korporat memainkan peranan penting sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dan rakyat. Sehubungan itu, beliau mahu semua jabatan dan agensi di bawah MAFFI mempertingkatkan keupayaan komunikasi digital selaras dengan perkembangan teknologi serta keperluan masyarakat masa kini.
Beliau turut memberi penekanan khusus agar semua platform media sosial rasmi termasuk Facebook, TikTok dan portal rasmi sentiasa dikemaskini dengan maklumat terkini mengenai program, inisiatif, bantuan serta pencapaian jabatan dan agensi masing-masing.
Menurut beliau, media sosial kini menjadi medium utama rakyat mendapatkan maklumat dan berinteraksi dengan kerajaan. Oleh itu, kandungan yang disampaikan hendaklah bersifat tepat, pantas, menarik serta mampu memberi kefahaman yang jelas kepada masyarakat mengenai peranan dan fungsi MAFFI.




Selain itu, YB Menteri turut menegaskan bahawa pegawai-pegawai UKK tidak seharusnya hanya bertindak sebagai penyampai maklumat, malah perlu memainkan peranan proaktif dalam menjawab pertanyaan, cadangan, maklum balas dan persoalan yang dikemukakan oleh masyarakat menerusi ruangan komen media sosial.
Beliau berkata, setiap komen yang disampaikan oleh rakyat perlu diberikan perhatian sewajarnya kerana ia merupakan salah satu bentuk maklum balas yang boleh membantu kerajaan menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Mesyuarat tersebut turut membincangkan usaha penyelarasan strategi komunikasi korporat, pengurusan media, pembangunan kandungan kreatif digital serta pengukuhan identiti korporat bagi memastikan penyampaian maklumat yang lebih berkesan dan seragam di semua peringkat.
YB Menteri turut menyeru semua jabatan dan agensi di bawah MAFFI untuk terus memperkukuhkan kerjasama melalui rangkaian Unit Komunikasi Korporat masing-masing bagi memastikan segala dasar, program dan bantuan kerajaan dapat disampaikan secara meluas serta difahami oleh rakyat.


