MAJLIS PENYERAHAN KUIH MUIH HARI RAYA AIDILFITRI 2023M

MAJLIS PENYERAHAN KUIH MUIH HARI RAYA AIDILFITRI 2023M

06/04/2023 Off By PID MAFFI

Datuk Seri Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah

KOTA KINABALU, 6 April — Keselamatan awam di Sabah akan terus diperkasa bagi memastikan rakyat dapat menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial dengan aman, damai dan sejahtera, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata jaminan keselamatan awam bukan sahaja memberi kesan kepada persekitaran yang lebih selamat, malah juga akan meningkatkan keyakinan pelabur luar untuk menjalankan aktiviti ekonomi di negeri ini.

“Keamanan kita kecapi ini juga akan membolehkan agenda pembangunan negeri Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dilaksanakan sebaiknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri Tahun 2023M/1444H Kepada Anggota Pasukan Keselamatan dan Petugas Kesihatan yang diadakan di Menara Kinabalu.

Sebanyak 35 agensi kerajaan terdiri daripada kementerian, jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) bergabung tenaga menyediakan kuih untuk diagihkan kepada pasukan anggota barisan hadapan (keselamatan dan petugas kesihatan) menjelang Aidilfitri.

Katanya, setiap tahun kerajaan mengadakan Majlis Penyerahan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri sebagai mengenang jasa bakti dan menzahirkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan sama ada yang bertugas di sempadan, darat, laut dan udara.

“Tidak dilupakan pasukan keselamatan yang menjaga keselamatan di jalan raya, harta benda awam dan sebagainya. Begitu juga petugas kesihatan, doktor, jururawat dan pasukan paramedik yang tidak pernah mengeluh tanpa mengira erti lelah dan masa terutama ketika pandemik COVID-19,” katanya.

Datuk Seri Hajiji Noor turut mengingatkan kepada rakyat di negeri ini agar terus melakukan kawalan kendiri bagi mengelakkan dijangkiti wabak COVID-19 berikutan Kementerian Kesihatan mengesan peningkatan kes COVID-19 sebanyak 37.7 peratus bagi minggu berakhir Sabtu lalu (1 April 2023) susulan pembukaan semula sekolah di seluruh negara.

Encik Robert Stidi menyampaikan sumbangan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor

Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), turut sama menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyumbangkan 26 bungkusan dan 13 replika yang melibatakan 13 jabatan/agensi sebagai penerima sumbangan.

Setiausaha Tetap MAFFI, En. Robert Stidi mewakili kementerian dan jabatan dan agesi dibawah kementerian menyerahkan bungkusan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis itu.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI(Pengurusan), En. Walter Kenson, Timbalan Setiausaha Tetap MAFFI(Pembangunan), En. Awg. Dzulkernain bin Awg. Hassan, Pn. Shirley Joseph dan Pn. Abby Liyana binti Mohd Salleh.

Aktivit pembungkusan sumbangan oleh kakitangan kementerian, jabatan dan agesni dibawah kementerian.