SEJARAH

SEJARAH

Kementerian ini pada mulanya dikenali sebagai Kementerian Pertanian dan Perikanan ditubuhkan pada Tahun 1963. Pada masa itu, Kementerian ini dipertanggungjawabkan dengan hal ehwal pertanian, perikanan, perkhidmatan haiwan, kuarantin dan penyelidikan. Kementerian ini juga mengawasi perkara yang berkaitan dengan pembangunan dan kepentingan koperasi.

Semasa penubuhannya pada tahun 1963, hanya dua agensi pelaksana diletakkan di bawah kementerian iaitu Jabatan Pertanian (yang juga meliputi Cawangan Perkhidmatan Haiwan dan Cawangan Perikanan) dan Lembaga Tabung Getah Sabah.

Pada 2 Februari 1968, Lembaga Padi Sabah(LPS) telah ditubuhkan sebagai salah satu agensi pelaksana dibawah Kementerian ini. Walau bagaimanapun LPS dibubarkan pada tahun 1982.

Pada bulan Mei 1968, Cawangan Perikanan telah dipisahkan daripada Jabatan Pertanian untuk dijadikan entiti tersendiri menjadi Jabatan Perikanan. Jabatan Perikanan memainkan peranan menjaga kepentingan sektor perikanan, akuakultur dan pembangunan industri perikanan.

Pada bulan Januari 1976, Cawangan Perkhidmatan Haiwan dipisahkan daripada Jabatan Pertanian menjadi entiti sendiri yang dikenali sebagai Jabatan Haiwan dan kemudiannya dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak. Kini jabatan ini dikenali sebagai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, bertanggungjawab membangunkan sektor ternakan dan menjaga kepentingan industri ternakan.

Pada tahun 1978, Koperasi Rakyat Sabah yang ditubuhkan dibawah Akta Pertubuhan Koperasi 1993 telah diletakkan di bawah naungan Kementerian ini sehingga tahun 1990. Pada tahun 1980, dua agensi pelaksana yang sebelum ini diletakkan dibawah bidang kuasa Jabatan Ketua Menteri telah juga diletakkan di bawah Kementerian ini iaitu Korporasi Pembangunan Desa (Rural Development Corporation) atau nama singkatannya KPD dan Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Sabah Fisherman and Fisheries Development Corporation) atau nama singkatannya KO-NELAYAN.

Pada 30 Jun 1995, Yayasan Usaha Maju merupakan agensi terakhir yang diletakkan dibawah bidang kuasa Kementerian. Walau bagaimanapun Yayasan Usaha Maju kemudiannya diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan Sabah pada tahun 2005.

Pada Bulan Mac 1999, nama Kementerian ini telah ditukarkan kepada Kementerian Pembangunan Pertanian dan Industri Pemakanan selaras dengan penekanan Kerajaan Negeri terhadap pengeluaran makanan. Pada bulan April 2000, nama Kementerian ini sekali lagi diubah kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan ( MAFI ) sehingga 1 Februari 2023.

Pada 2 Febuari 2023, nama Kementerian telah ditukar kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) bagi memastikan objektif, fungsi dan peranan kementerian lebih jelas, terutama berhubung keselamatan makanan sehingga hari ini.