Kabinet Sabah lulus tukar nama dua kementerian

Kabinet Sabah lulus tukar nama dua kementerian

02/02/2023 Off By PID MAFFI

KOTA KINABALU: Kabinet Sabah dalam mesyuarat mingguannya semalam meluluskan penukaran nama dua kementerian.

Dua kementerian yang ditukar nama ialah Kementerian Pertanian dan Perikanan yang kini dikenali sebagai Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) serta Kementerian Pembangunan Perindustrian yang ditukar kepada Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.

Melalui satu kenyataan, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keputusan pertukaran nama kementerian ini bagi memastikan objektif, fungsi dan peranan kedua-dua kementerian lebih jelas, terutama berhubung keselamatan makanan dan kepentingan usahawan termasuk usahawan kecil dan sederhana.

Katanya, penyelarasan tugas menteri mengikut portfolio persekutuan pula selaras dengan rombakan Kabinet negeri baru-baru ini dan penstrukturan semula Kabinet Persekutuan.

“Kerajaan Negeri juga memutuskan untuk menyelaraskan bidang kuasa setiap anggota Kabinet negeri dengan kementerian yang ada di Persekutuan.

“Berikutan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Persekutuan akan berada di bawah bidang kuasa Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri MAFFI, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, manakala Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Persekutuan di bawah Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

“Kementerian Kerja Raya Persekutuan pula diletakkan di bawah Timbalan Ketua Menteri III selaku Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Shahelmey Yahya manakala Kementerian Kewangan Persekutuan di bawah Menteri Kewangan negeri, Datuk Masidi Manjun,” katanya.