Jawatankuasa Khas Keselamatan Makanan sudah bermesyuarat

Jawatankuasa Khas Keselamatan Makanan sudah bermesyuarat

07/02/2023 Off By PID MAFFI

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Khas Keselamatan Makanan mengadakan mesyuarat pertama selepas penubuhannya diluluskan Kabinet Negeri.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan mesyuarat kali kedua dalam masa terdekat supaya boleh menyediakan laporan kepada Jawatankuasa Kabinet mengenai keselamatan makanan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Keselamatan Makanan berkata, kementeriannya kini selari dengan fokus kerajaan di peringkat Persekutuan.

Katanya, keselamatan makanan akan menjadi fokus utama kerajaan Persekutuan dan negeri pada tahun ini.

Menurutnya, kerajaan komited untuk menyediakan perancangan bagi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menstabilkan bekalan makanan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan 2023 di sini, hari ini.

Jeffrey berkata, Sabah terkenal dengan makanan laut segar dan negeri ini mempunyai bekalan mencukup untuk bahan berkenaan. 

“Setakat ini kita mempunyai bekalan mencukupi dan saya percaya kita mampu memenuhi keperluan makanan untuk pelancong. Kita juga menggalakkan lebih ramai pengusaha industri perikanan untuk menghasilkan lebih banyak produk makanan laut.

“Mereka (pengusaha) juga memohon kepada kerajaan agar menunda pembayaran cukai jualan produk perikanan yang dijual keluar dari Sabah.

“Saya merasakan kita harus menunda perkara ini sehingga mereka betul-betul bersedia sepenuhnya, mungkin tunda dalam tempoh enam sehingga 12 bulan,” katanya.

Sementara itu Jeffrey turut menjelaskan kementeriannya masih mempunyai ruang untuk meningkatkan prestasi walaupun pencapaian tahun lalu adalah sebanyak 92 peratus.

“Saya berharap kementerian ini akan mempunyai kapasiti yang lebih baik untuk bergerak maju bukan saja disebabkan pandemik COVID-19 sudah berlalu.

“Tetapi kita turut mempunyai banyak bakal pelabur yang akan melabur sekali gus membolehkan operasi semua agensi kita berjalan lancar,” katanya. Sumber Utusan Borneo