MAFS perluas kerjasama strategik Program SMART SBB

MAFS perluas kerjasama strategik Program SMART SBB

16/02/2023 Off By PID MAFFI

oleh NURHIDAYAH HAIROM16 Februari 2023 10:30pm

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) dan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFI) Sabah bekerjasama dalam usaha membawa masuk varieti baharu benih padi MR297 dan MRQ 74 dari Semenanjung ke Negeri Sabah bagi memperluas Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) YB Chan Foong Hin berkata, kemasukan dua varieti benih popular tersebut bertujuan untuk peningkatan tahap sara diri (SSL) Negeri Sabah.

Menurutnya, usaha itu juga bakal meningkatkan pendapatan pesawah tempatan.

“Varieti MR 297 dapat menghasilkan purata hasil padi sehingga 10 tan metrik per hektar, manakala varieti MRQ 74 pula mempunyai potensi purata hasil sebanyak 5 tan metrik per hektar.

“Kedua-dua varieti ini dapat mengatasi masalah padi angin dan berupaya meningkatkan pendapatan pesawah kepada lebih 20 peratus daripada peningkatan hasil pengeluaran padi,” katanya sempena lawatan kerja ke Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, di Kota Kinabalu, Sabah, pada Khamis.

Beliau turut mengadakan lawatan keGudang Simpanan Stokpail Beras yang juga dihadiri, Ketua Pengarah Industri Padi Beras, Datuk Azman Mahmood,Pengarah IADA Kota Belud, Norfaine Sameun dan Ketua- ketua Agensi Negeri Sabah Negara di Sabah.

Dalam pada itu, MAFS dalam kenyataan media memaklumkan bahawa kolaborasi strategik antara MAFS dengan syarikat-Syarikat peneraju berkenaan akan menjadi titikpermulaan kepada perubahan landskap industri padi dan beras tempatan di Sabah.

“Seterusnya, berupaya membantu kerajaan mencapai sasaran 75 peratus tahap sara diri (SSL) beras negara menjelang tahun 2025 sepertimana yang digariskan di bawah Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12),” katanya.

Berdasarkan rekod semasa, kadar tahap sara diri (SSL) beras bagi Negeri Sabah adalah sebanyak 22.8 peratus pada tahun 2021 dengan anggaran populasi penduduk Negeri Sabah sebanyak 3.4 juta dan penggunaan perkapita beras sebanyak 73.04 kilogram seorang setahun.

Untuk rekod, Program SMART SBB yang dilaksanakan di kawasan IADA Kota Belud telah berjaya meningkatkan purata hasil padi dari 2.60 tan metrik kepada 4.15 tan metrik sehektar.

Program yang melibatkan seramai 40 orang pesawah ini adalah di bawah seliaan BERNAS sebagai syarikat peneraju.

Program SMART SBB di Skim Jawi-Jawi telah mencapai keseluruhan kawasan seluas 126.78 hektar pada tahun 2023 dengan peningkatan sebanyak 153.6 peratus berbanding keluasan seluas 50 hektar pada tahun2022.

Manakala, pulangan bersih hasil tuaian sawah sekitar RM2,000 semusim sebelum ini telah meningkat menjadi kepada RM6,000 Sumber Sinar Harian