TANAH RIZAB PADANG RAGUT TAMBUNAN DIJADIKAN LADANG KELAPA BERHASIL TINGGI

TANAH RIZAB PADANG RAGUT TAMBUNAN DIJADIKAN LADANG KELAPA BERHASIL TINGGI

15/03/2023 Off By admin

Dari kiri: Dato’ Dr. Mohamad Hashim bin Ahmad Tajudin, BOD MKIC; YBhg Dato’ Sri Dr. Sabin Bin Samitah, Pengerusi Malaysian Kuwaiti Investment Co Sdn Bhd (MKIC); Ketua Kampung Monsok Tengah, Pautin @ Anthonius Bin Nicholas Sulam; YB DSP Dr.Jeffrey G Kitingan dan Sabitun Makajil, Pegawai Daerah Tambunan.

TAMBUNAN: 16 Mac 2023

Daerah Tambunan mempunyai tanah rizab kawasan padang ragut seluas 23,490.56 ekar yang sebahagiannya terbiar bakal dibangun dan diusahakan sebagai ladang kelapa berhasil tinggi melalui kerjasama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan dengan pelabur Malaysian Kuwaiti Investment Co. Sdn Bhd (MKIC).

Pengusaha-pengusaha ladang kelapa berhasil tinggi Tambunan.

“Peladangan seperti ini juga adalah salah satu pelan yang dinyatakan di dalam buku pelan strategik pembangunan daerah Tambunan 2022 – 2030 yang telah dilancarkan pada 10hb Ogos 2022. Industri kelapa adalah salah satu pelan pembangunan Sabah Maju Jaya yang berfokus kepada pertanian selain daripada pembangunan perindustrian dan pelancongan.”

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Bibit Kelapa, di Dewan Terbuka Pisompuruan Tambunan hari ini.

Katanya, “Dengan adanya, peladangan dan industri kelapa di daerah Tambunan ia akan meningkatkan sosio ekonomi penduduk, mewujudkan peluang perniagaan, mewujudkan pekerjaan terutama sekali mengurangkan penghijraan belia-belia atau orang orang kita ke bandaraya di luar negeri.”

“Bagi fasa pertama; 8 buah kampung telah dikenalpasti dan dipilih iaitu Toboh, Nouduh, Kuala Namadan, Papar, Mogong, Tondulu, Pahu dan Tikolod dengan keluasan 3400.75 ekar padang ragut untuk meneraju mengusaha ladang kelapa.”

“Fasa kedua, melibatkan 30 buah kampung yang mempunyai padang ragut yang sudah digazet.”

Kitingan berkata satu lawatan sambil belajar tajaan MKIC ke Ladang PJ Nagus, Semporna, anjuran Dataforce Team pada 18 hingga 20 haribulan Januari 2023, telah melibatkan pemimpin-pemimpin Masyarakat dan ahli-ahli jawatankuasa pemegang padang ragut kampung yang diketuai oleh Tuan Pegawai Daerah Tambunan. Tujuan lawatan adalah untuk membuka minda dan mempelajari pengurusan ladang kelapa yang berjaya.

Menurutnya lagi maklum balas yang diterima dari para peserta amat memberangsangkan, menarik minat mereka untuk berusaha dalam bidang penanaman kelapa, dan mengharapkan lawatan seperti itu dapat dianjurkan lagi untuk peserta lain di masa akan datang.

Katanya sejumlah 5000 bibit kelapa species Malaysian Yellow Dwarf (MYD) dan Malaysian Red Dwarf (MRD) akan diagihkan kepada 38 kampung dan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri daerah Tambunan yang disumbangkan oleh MKIC sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada penduduk kampung.

Jelasnya MKIC dan Taskforce Team bekerjasama memantau perkembangan penanaman kelapa yang diagihkan, dan memberi bimbingan bantuan tunjuk ajar yang selanjutnya supaya bibit kelapa yang ditanam menampakkan hasil dan sukses.

“Saya juga menyarankan kepada pihak MKIC selepas ini membuka kilang pemprosesan kelapa di daerah Tambunan.” katanya.

Beliau meletakkan harapan besar untuk perladangan kelapa berhasil tinggi di padang ragut Tambunan menjadi satu industri yang mampan selain daripada pertanian-pertanian yang sedia ada seperti Kelapa sawit, getah, nanas, halia dan padi sehinggalah menjadikan penduduk Tambunan mampu diri dan membangun secara berterusan untuk generasi akan datang.

Ujarnya, “Kerjasama dan komitmen di antara penduduk dan MKIC perlu seiring untuk merealisasikan Tambunan makmur.”