Kunjungan Hormat dan Pembentangan Produk Sabah Credit Corporation kepada YB Menteri MAFFI

Kunjungan Hormat dan Pembentangan Produk Sabah Credit Corporation kepada YB Menteri MAFFI

15/06/2026 Off By PID MAFFI

KOTA KINABALU, 15 Jun 2026 – YB Datuk Jamawi Jaafar, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI), telah menerima kunjungan hormat daripada wakil Sabah Credit Corporation serta mendengar pembentangan mengenai Produk Pinjaman AgroMakanan yang ditawarkan oleh organisasi tersebut.

Sesi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama (BMU), Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama strategik dalam menyokong pembangunan sektor pertanian, penternakan, perikanan dan industri agro-makanan di negeri Sabah.

Turut hadir dalam sesi tersebut ialah YB Datuk Haji Ruslan Muharam, Pembantu Menteri (I) Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Maria David Edick, Timbalan Setiausaha Tetap (Khidmat Pengurusan) MAFFI serta pegawai dan kakitangan urus setia MAFFI.

Antara perkara yang dibentangkan ialah Skim Pinjaman AgroMakanan yang menawarkan pembiayaan sehingga RM100,000 tanpa faedah, dengan tempoh bayaran balik sehingga lima tahun bagi membantu petani, penternak, nelayan, usahawan pertanian serta pengusaha industri agro-makanan mengembangkan projek dan perniagaan mereka.

YB Menteri menyambut baik inisiatif tersebut dan berharap kemudahan pembiayaan yang disediakan dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai usahawan agro di Sabah bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh keterjaminan makanan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.