TAKLIMAT PELAKSANAAN REGISTERED ENTITY DATABASE (R.E.D)
18/06/2026KOTA KINABALU, 18 Jun 2026 – Jabatan Bendahari Negeri Sabah (JBNS) telah mengadakan sesi Taklimat Pelaksanaan Registered Entity Database (R.E.D) di bawah Arahan Perbendaharaan 138 (AP138) kepada Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) bagi memberi pendedahan mengenai konsep, latar belakang, skop pelaksanaan serta potensi penggunaan pangkalan data berpusat bagi pengurusan entiti/pelanggan yang menerima perkhidmatan atau kemudahan kewangan Kerajaan Negeri.
Taklimat yang bermula pada jam 9.00 pagi itu telah dipengerusikan oleh Puan Shariffah Aznoor binti Jap, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan Data) MAFFI dan dihadiri oleh seramai 28 peserta yang terdiri daripada wakil kementerian serta jabatan-jabatan di bawah MAFFI.






Dalam ucapan pembukaannya, Puan Shariffah Aznoor binti Jap merakamkan penghargaan dan ucapan selamat datang kepada pasukan daripada Jabatan Bendahari Negeri Sabah yang hadir bagi menyampaikan taklimat pelaksanaan sistem R.E.D. Beliau turut menekankan kepentingan transformasi digital sektor awam dalam memperkukuhkan tadbir urus, keselamatan data serta penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap dan berkesan.
Pasukan Jabatan Bendahari Negeri Sabah diketuai oleh En. Hamdan Hamzani, Timbalan Bendahari (Pembangunan) manakala sesi taklimat telah disampaikan oleh Faizal Heesyam Bin Mohd Kassim, Pasukan Inovasi Digital (PID) Jabatan Bendahari Negeri Sabah.
Dalam sesi tersebut, peserta diberi penerangan mengenai konsep dan pelaksanaan Registered Entity Database (R.E.D) sebagai platform identiti digital berpusat yang berfungsi menyatukan pengurusan identiti pengguna, kawalan akses dan integriti data merentasi sistem kerajaan negeri.
Taklimat turut menjelaskan bahawa pelaksanaan R.E.D akan menyokong keperluan Single Sign-On (SSO) yang membolehkan pengguna mengakses pelbagai aplikasi menggunakan satu identiti digital yang unik, sejajar dengan keperluan pematuhan ISO/IEC 27001:2022 serta Dasar Keselamatan Siber Sektor Awam Sabah.
Selain itu, R.E.D berperanan sebagai “Single Source of Truth” yang membolehkan pengurusan identiti, profil dan hak capaian dilaksanakan secara berpusat dan lebih teratur. Melalui pendekatan ini, isu seperti data berulang, sistem yang terpisah, kelewatan operasi, kegagalan transaksi dan risiko keselamatan dapat diminimumkan.
Antara manfaat utama yang diketengahkan ialah peningkatan kecekapan operasi, pengukuhan keselamatan siber, integrasi sistem yang lebih lancar, pengurusan capaian berpusat serta penambahbaikan pengalaman pengguna dalam urusan dengan agensi kerajaan.
Sementara itu, En. Hamdan Hamzani dalam ucapannya berharap agar semua kementerian dan jabatan di bawah MAFFI dapat melaksanakan pendaftaran dalam sistem R.E.D dengan segera bagi memastikan sasaran pelaksanaan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dapat dicapai.
Beliau memaklumkan bahawa Jabatan Bendahari Negeri Sabah menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus pendaftaran entiti dalam R.E.D menjelang penghujung tahun 2026, sekali gus memperkukuhkan ekosistem identiti digital kerajaan negeri yang lebih selamat, bersepadu dan berdaya tahan.
Pelaksanaan R.E.D dijangka menjadi pemangkin penting kepada agenda pendigitalan Kerajaan Negeri Sabah dalam usaha mempertingkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, memperkukuhkan tadbir urus data dan memastikan keselamatan maklumat sentiasa berada pada tahap terbaik.



