MAFFI sertai Program Sabah Sihat 2.0, sokong pembudayaan gaya hidup sihat

MAFFI sertai Program Sabah Sihat 2.0, sokong pembudayaan gaya hidup sihat

27/06/2026 Off By PID MAFFI

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah menyertai Program Sabah Sihat 2.0 sebagai tanda sokongan terhadap usaha kerajaan negeri membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Kontinjen MAFFI diketuai oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan Data), Puan Shariffah Aznoor JAP, bersama Ketua Penolong Setiausaha(Dasar dan Pengurusan Data), Puan Rumaziah Ajmain, Shirley Joseph, Ketua Penolong Setiausaha(Khidmat Pengurusan) serta pegawai dan kakitangan kementerian.

Program yang menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri itu telah dirasmikan oleh Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki.

Dalam ucapannya, Julita berkata Program Sabah Sihat 2.0 menjadi platform penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat sebagai langkah mencegah penyakit tidak berjangkit.

Beliau berkata, pendekatan pencegahan melalui pemakanan seimbang, aktiviti fizikal secara konsisten dan pemeriksaan kesihatan berkala perlu terus diperkasakan bagi melahirkan masyarakat yang lebih sihat dan produktif.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti disediakan kepada orang ramai termasuk pameran kesihatan, pemeriksaan kesihatan asas, aktiviti kecergasan serta Jualan Rahmah yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Penyertaan MAFFI mencerminkan komitmen kementerian dalam menyokong inisiatif kerajaan negeri ke arah memperkasakan kesejahteraan rakyat, di samping menggalakkan budaya hidup sihat dalam kalangan warga perkhidmatan awam.

MAFFI turut berpandangan bahawa warga kerja yang sihat, cergas dan produktif merupakan antara faktor penting dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat serta menyokong pembangunan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan di Sabah.