MAFFI Terima Taklimat Pelaksanaan Program RKB
17/09/2026KOTA KINABALU, 17 September 2026 – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) bersama jabatan serta agensi di bawahnya menerima taklimat mengenai Program RKB yang disampaikan oleh Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), hari ini.
Taklimat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah itu dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap MAFFI, YBhg. Datuk Ts. Hj. Jifrin bin Hj. Mohamad.
Sesi berkenaan bertujuan memberikan penerangan menyeluruh mengenai pelaksanaan Program RKB, di samping meningkatkan pemahaman serta kesiapsiagaan MAFFI dan jabatan serta agensi di bawahnya dalam menjayakan inisiatif tersebut.
Taklimat itu turut menjadi platform penting untuk membincangkan pendekatan pelaksanaan, keperluan penyelarasan antara jabatan serta peranan setiap agensi dalam memastikan objektif program dapat dicapai secara berkesan.
Melalui perkongsian tersebut, MAFFI dapat mengenal pasti ruang penambahbaikan dalam proses kerja dan penyampaian perkhidmatan, termasuk usaha memperkemas tatacara pentadbiran, meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan kekangan yang boleh menjejaskan produktiviti.
Pelaksanaan Program RKB secara tersusun dijangka dapat memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, khususnya golongan yang terlibat dalam sektor pertanian, perikanan dan industri makanan di Sabah.
Kerjasama strategik antara MAFFI, MPC serta jabatan dan agensi berkaitan juga penting bagi memastikan setiap inisiatif penambahbaikan dapat dilaksanakan secara inklusif, praktikal dan selaras dengan keperluan semasa.

MAFFI komited untuk terus menyokong usaha mempertingkatkan produktiviti, kecekapan perkhidmatan serta pembangunan sektor agromakanan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi negeri Sabah.


